KAPIT: Safari Rakit Baleh-Kapit tahun ini akan kembali dengan lebih banyak aktiviti menarik yang dibuka kepada para peserta.
Festival sukan sungai yang dinantikan itu akan berlangsung dari 12 hingga 14 Julai, menyajikan pelbagai acara seperti berakit, perahu kayuh dan bot kuasa.
Selain itu, festival tersebut juga akan menganjurkan permainan sukan rakyat melibatkan masyarakat tempatan.
Acara anjuran Pejabat Residen Kapit ini turut melibatkan kerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Lembaga Pelancongan Sarawak dan jabatan serta agensi kerajaan yang berkaitan melalui pejabat mereka di sini.
Ketika dihubungi, Residen Kapit Galong Luang berkata, tarikh penganjuran diputuskan pada bulan tersebut kerana ia musim cuti di kebanyakan negara barat.
“Kami berharap ramai pelancong asing akan datang ke Kapit bukan sahaja untuk menyertai safari tetapi juga untuk meneroka keindahan flora dan fauna kita serta budaya dan tradisi kita,” kata Galong.
Bagi laluan rakit, pelepasan pertama akan diadakan pada 13 Julai di Rumah Bajal Chandan, Nanga Kain ke Rumah Ukau, Nanga Bawai yang kemudiannya akan menjadi titik permulaan untuk pelepasan kedua pada hari berikutnya (14 Julai) di mana para peserta akan menuju ke Terminal Ekspres Kapit di pusat bandar.
“Jumlah jarak yang perlu ditempuh ialah 32 kilometer (km).
"Sepanjang perjalanan, para peserta akan berpeluang bermalam di dua rumah panjang Iban sekali gus merasai pengalaman penduduk kampung dari segi cara hidup dan menikmati layanan mereka,” kata Galong.
Safari Rakit Baleh-Kapit diasaskan bekas Timbalan Ketua Menteri mendiang Tan Sri Datuk Amar James Masing pada 1996 ketika beliau menjadi menteri muda pelancongan.
Sejak itu, acara itu diadakan setiap tahun kecuali semasa kemuncak pandemik COVID-19 pada 2020 dan 2021.
Mengenai kategori yang dipertandingkan, Galong berkata, antaranya buluh terbuka lelaki dan wanita, bot kayuh pasukan campuran, kayak lelaki dan wanita dan 'Rakit Berhias'.
“Kami akan membuka penyertaan kepada mereka daripada badan kerajaan dan bukan kerajaan, kelab dan persatuan tempatan, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan juga kepada pelancong," ujarnya.
Mengenai pertandingan bot laju di Kapit Waterfront Galong berkata, kategorinya adalah ‘Enjin Pam’, ‘18HP Tunnel Boat’, ‘30HP Tunnel Boat Two-Piston’, ‘30HP Tunnel Boat Three-Piston’ dan ‘50HP Tunnel Boat’, jelasnya.
Katanya, antara sukan rakyat yang diadakan seperti memancing, menjala ikan, mengutip siput sungai, menangkap itik dan pelbagai permainan tradisional.
Selain itu, pameran makanan dan kraf tangan juga akan diadakan.