Seminar Inisiatif Karbon Hutan 2025

Disiarkan pada 26 Jun 2025
Sumber Berita: Real Kapit Chronicle fb page
SEMINAR INISIATIF KARBON HUTAN 2025
 
25 Jun 2025 (Rabu) – Jabatan Hutan Hutan Sarawak telah menganjurkan Seminar Inisiatif Karbon Hutan 2025 bagi memperkenalkan Inisiatif Karbon Hutan Sarawak kepada komuniti tempatan yang memiliki Tanah NCR (Tanah Adat) di bawah Native Customary Right Section 6 (NCR Land Code) atau Native Customary Right Section 18 (NCR S18) di Dewan Suarah Kapit.
 
Semasa merasmikan program, Encik Afriezul Bin Abdul Rahman, Pegawai Hutan Wilayah Kapit yang mewakili Pengarah Hutan Sarawak menyatakan bahawa inisiatif Karbon Hutan ini sering disebut oleh YAB Premier Sarawak, namun begitu, tidak ramai orang yang memahaminya. Oleh itu, beliau menyarankan ketua – ketua masyarakat untuk sama – sama berkongsi tentang inisiatif ini bagi menjamin pengurusan hutan di Sarawak ini lebih mapan.
 
Sr. RO Dr. Malcom Anak Demies daripada Jabatan Hutan Sarawak, dalam ceramahnya memaklumkan bahawa Sarawak mempunyai hutan seluas 7.65 juta hektar iaitu merangkumi 54% keluasan tanah di Sarawak. Beliau melanjutkan bahawa pengurusan hutan yang mapan seperti inisiatif karbon hutan ini adalah penting bagi menangani perubahan iklim dunia yang boleh mengakibatkan corak cuaca yang tidak menentu sehingga menggugat kesihatan manusia dan hasil tanaman. Beliau seterusnya memaklumkan bahawa inisiatif karbon hutan di Sarawak ini adalah diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa. Bagi memacu inisiatif ini, Kerajaan Sarawak telah melakukan beberapa pindaan dalam Forest Ordinance bagi menyesuaikannya dengan aktiviti Forest Produce, Forest Carbon License dan Forest Carbon Activities.
 
Penghulu Uga yang mewakili ketua – ketua masyarakat yang hadir pada seminar tersebut memaklumkan bahawa beliau sangat berterima kasih kepada pihak Jabatan Hutan Sarawak kerana telah berkongsi ilmu tentang perkara yang baharu seperti inisiatif karbon hutan ini. Beliau berharap inisiatif ini boleh memberi manfaat kepada masyarakat Iban khususnya yang tinggal di kawasan pedalaman dan masih bergantung kepada hasil hutan.