Pengerami Makai Malam Mantar Gawai Dayak Daerah Song 2025
Posted on 15 May 2025
Source of News: Real Kapit Chronicle fb page
10 Mei 2025 (Sabtu) – Masyarakat di Daerah Song sekali lagi meneruskan tradisi mengadakan Mantar Gawai Dayak bagi melabuhkan tirai menandakan bermulanya musim Gawai di Daerah Song pada tahun ini. Diadakan di Balai Raya Song, majlis makan malam ini telah menarik lebih 600 pengunjung yang terdiri daripada kakitangan Kerajaan, badan – badan NGO serta penduduk tempatan yang ingin meraikan bersama – sama kemeriahan memulakan musim Gawai pada tahun ini.
Tuai Pengabang atau yang mengetuai majlis pada malam tersebut ialah YB Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya Malaysia yang hadir bersama – sama isteri, YBhg. Datin Angelina Celestine Ujang. Di samping beliau ialah YB Encik Lidam Assan, Ahli DUN N.62 Katibas yang ditemani isteri, Puan Noria Unju. Turut hadir dalam barisan tetamu kehormat juga ialah Tuan Residen Bahagian Kapit, Encik Elvis Anak Didit, Pegawai Daerah Song, Encik Harry Bruce Edwin, Setiausaha Sulit kepada Menteri Kerja Raya Malaysia, Encik Ambrose Abong Bugek, Setiausaha Politik kepada YAB Premier Sarawak, Encik Romeo Christopher Tegong dan Encik Watson Awan Anak Jalai. Turut bersama – sama barisan tetamu kehormat juga ialah Pengerusi Pengerami Mantar Gawai Dayak Daerah Song, Encik Edward Minggu Nyantau, Temenggong (Iban) Jamit Anak Untam dan Temenggong (Cina) Toh Tze Hua.
Acara majlis tersebut dimulakan dengan persembahan gendang pampat bagi menyambut ketibaan Tuai Pengabang, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya Malaysia bersama – sama barisan tetamu kehormat yang mengiringi beliau. Setelah itu, para tetamu kehormat diperlawa untuk menyempurnakan upacara miring yang turut diselitkan dengan acara bebiau dan bepantun bagi menyempurnakan acara perasmian majlis tersebut.
Semasa ucapan, YB Encik Lidam Assan, Ahli DUN N.62 Katibas telah menzahirkan ucapan terima kasih dan tahniah kepada Jawatankuasa Pengerami Mantar Gawai Dayak Daerah Song yang dipengerusikan oleh Encik Edward Minggu, Pengerusi Persatuan Penghulu dan Tuai Rumah Daerah Song. Beliau berbesar hati menyatakan bahawa acara Mantar Gawai ini amatlah berguna bagi mengekalkan tradisi adat dan budaya orang Iban di Daerah Song. Beliau menyeru agar masyarakat di Daerah Song akan terus bersatu dan teguh serta maju bersama – sama seiring dengan peredaran masa di samping mengekalkan adat dan budaya masing – masing. Beliau turut berbangga dengan pencapaian seramai 74 orang pelajar di Daerah Song telah melanjutkan pelajaran ke Institut Pengajian Tinggi (IPT).
Beliau memaklumkan bahawa beliau akan sentiasa memberi sokongan dalam bidang pendidikan bagi penduduk – penduduk di Daerah Song agar lebih ramai lagi anak rakyat Daerah Song yang berjaya dalam pendidikan. Selain itu, beliau memaklumkan bahawa banyak rancangan pembangunan yang telah dirancang dan sedang dilaksanakan di Daerah Song. Oleh yang demikian, beliau menyeru agar rakyat jangan berpecah – belah tetapi terus mengekalkan kerjasama di antara rakyat, agensi Kerajaan dan pemimpin untuk memastikan semua rancangan pembangunan ini berjalan dengan lancar. Beliau akhirnya mengucapkan ‘Selamat Hari Gawai’ sebelum mengundur diri.
Semasa merasmikan Pengerami Mantar Gawai Dayak Daerah Song 2025, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya Malaysia memaklumkan bahawa beliau amat berbesar hati dengan sambutan dan kemeriahan penganjuran majlis seumpama ini yang telah dimulakan dengan acara Niti Daun pada sebelah pagi tadi, dan kemudiannya diisi dengan pelbagai program yang menarik pada malam ini.
Beliau menekankan kepentingan generasi muda untuk meneruskan budaya dan tradisi dengan memperagakan pakaian tradisional, mempelajari kemahiran adat dan main asal seperti ngajat, bepantun dan bekuntau. Beliau juga menyatakan bahawa program seperti ini boleh menjana pendapatan yang kecil melalui jualan kraftangan dan makanan tradisional seperti yang boleh didapati di Bazaar Gawai.
Beliau juga berbangga dengan penyertaan Niti Daun daripada masyarakat yang berbilang kaum di Daerah Song yang terdiri daripada Cina, Melayu, Bidayuh, Orang Ulu dan India selain daripada kaum Iban, kerana inilah masanya penduduk di Daerah Song memperagakan pakaian tradisional sesebuah kaum masing – masing.
Menyentuh tentang projek pembangunan yang sedang dirancang dan dilaksanakan di Daerah Song, beliau menyeru supaya rakyat jangan terpengaruh dengan isu – isu yang ditularkan di media sosial, yang sengaja memutarbelitkan fakta bagi mengelirukan rakyat. Oleh itu, beliau menyeru agar rakyat akan sentiasa bersatu padu dan teguh supaya tidak dipecah – belahkan oleh orang lain. Bagi menyimpulkan ucapan, beliau mengucapkan ‘Selamat Hari Gawai’ kepada semua yang hadir ke majlis malam itu.
Kemuncak Pengerami Mantar Gawai Dayak Daerah Song 2025 ialah Pekit Kumang. Johan Pekit Kumang, Cik Angelina Anak Gawan telah memenangi gelaran Kumang serta membawa balik hadiah wang tunai RM 4,000.00, piala, tiara, selendang Kumang dan hadiah yang lain. Di tangga yang kedua pula ialah Cik Agnes Sebai Anak Hong Lee yang memenangi gelaran Lulung, serta membawa pulang hadiah wang tunai RM 3,000.00, piala, selendang Lulung dan hadiah yang lain. Manakala tempat yang ketiga pula dimenangi oleh Cik Jennifer Anak Siba yang memenangi gelaran Selinggar Matahari serta telah merangkul hadiah wang tunai RM 2,000.00 bersama piala dan selendang Selinggar Matahari.
Selamat Hari Gawai Dayak.