Mantar Gawai Dayak Kapit 2025 “Teknologi AI Nyungkak ka Penyulut Dagang”

Disiarkan pada 20 May 2025
Sumber Berita: Real Kapit Chronicle fb page
17 Mei 2025 (Sabtu) – “Teknologi AI Nyungkak ka Penyulut Dagang” yang bermaksud “Teknologi AI merancakkan kejayaan dalam sektor perdagangan” merupakan tema bagi Pengerami Mantar Gawai Dayak Kapit 2025 yang diadakan di Dewan Suarah Kapit. Kemeriahan majlis tersebut merupakan hasil kerja keras oleh organisasi penganjur di belakang takbir yang terdiri daripada DUBS Kapit, SADIA Kapit, OUNA Kapit, SIDS Kapit, Ngupi Studio dan individu serta kumpulan individu yang telah menyumbang secara langsung dan tidak langsung bagi menjayakan majlis.
 
Tuai Gawai atau yang mengetuai majlis pada malam tersebut, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya, semasa ucapan perasmian memaklumkan bahawa Kapit wajar diangkat sebagai pusat bagi usaha memartabat adat serta budaya masyarakat Dayak khasnya Iban di Sarawak. Beliau menyatakan bahawa dengan adat asal serta budaya Iban yang banyak bercambah bermula dari Kapit, dan usaha itu sekali gus bukan sahaja mampu memelihara, malah ia memacu usaha mempromosi budaya masyarakat Dayak itu sendiri. Beliau percaya bahawa usaha seperti ini akan secara tidak langsung melahirkan usahawan yang mampu merancakkan lagi industri yang berkaitan adat serta budaya.
 
Beliau juga menekankan kepentingan untuk terus mengekalkan keharmonian dan perpaduan masyarakat pelbagai kaum di Kapit dan Sarawak pada keseluruhannya serta menyeru agar sokongan terhadap semua pemimpin dan wakil rakyat di Kapit diteruskan, kerana hanya dengan kesinambungan politik, pembangunan dapat berjalan dengan lancar. Beliau berharap agar penduduk sentiasa bersabar dan terus bekerjasama antara satu sama lain bagi membolehkan lebih banyak pembangunan seperti jalan penghubung dan infrastruktur asas yang lain diwujudkan.
 
Beliau juga turut mengumumkan tentang pembinaan sebuah hotel 9 tingkat di Kapit yang dijangka akan merancakkan lagi kegiatan sosioekonomi penduduk serta menjadi tarikan pelancong. Beliau juga mengumumkan bahawa pembinaan Dataran Bujang Berani dan Kapit Waterfront pada masa yang akan datang bakal menjadi tarikan pelancong di Bandar Kapit. Selain itu, beliau mengumumkan bahawa perasmian tapak pembinaan Kolej Professional Mara di Nanga Yong yang telah diumumkan sebelum ini akan dilakukan pada masa yang terdekat. Beliau juga memaklumkan bahawa Kerajaan kini sudah mula membina jalan raya dari Nanga Semaram, Kanowit ke seberang Nanga Yong, yang akan dihubungkan oleh sebuah jambatan merentas Batang Rajang. Beliau menyatakan bahawa dengan siapnya jalan dan jambatan ini kelak, rakyat bukan sahaja akan menggunakan kemudahan tersebut untuk akses ke Kanowit dan Sibu, malah akan menjadi faktor yang memperhebat pelbagai kegiatan sosioekonomi bagi meningkatkan taraf hidup penduduk.
 
Bagi menghargai jasa dan sumbangan Ketua – ketua Masyarakat Iban di Kapit yang telah berkhidmat, YB Datuk Wilson Ugak Kumbong, Timbalan Menteri Digital telah menyempurnakan penyampaian cenderahati dan sijil penghargaan kepada penerima – penerima seperti berikut; (mantan) Temenggong Dato Wilfred Billy Panyau, (mantan) Pemanca Engin Anak Nyipa, (mantan) Pemanca David Dian Anak Langkau, (mantan) Penghulu Geruna Anak Mawan dan (mantan) Penghulu Mamat Anak Baring. Tidak ketinggalan juga, Ketua – ketua Masyarakat yang telah meninggal juga turut menerima cenderamata dan sijil penghargaan melalui waris masing – masing iaitu; (niang) Pemanca Steward Sawing Anak Andol, (niang) Penghulu Nalong Anak Daga, (niang) Penghulu Jampi Anak Raweng dan (niang) Penghulu Bujang.
 
Kemuncak bagi Majlis pada malam tersebut adalah Pekit Kumang Gawai yang menampilkan 10 peserta akhir yang bertanding bagi memperoleh gelaran Kumang, Lulung dan Selinggar Matahari serta pelbagai hadiah lumayan. Berikut adalah senarai peserta akhir Pekit Kumang Gawai pada malam tersebut; (Plat no. 1): Cik Ellenchia Asnie Anak Tukau, (Plat no. 2): Cik Nani Anak Saban, (Plat no. 3): Cik Natasha Malviana Anak Nyandang, (Plat no. 4): Cik Evelyn Wendy Anak Madin, (Plat no. 5): Cik Caroline Lika Anak Undi, (Plat no. 6): Cik Angelina Rani Anak Gawan, (Plat no. 7): Cik Joyce Elysa Anak Jantum, (Plat no. 8): Cik Carolyne Kamba, (Plat no. 9): Cik Francine Felicia Anak Mandau, dan (Plat no. 10): Cik Yasmine Rachell Anak Laggan.
 
Tempat pertama, yang membawa gelaran Kumang telah dimenangi oleh Cik Angelina Rani Anak Gawan, yang mana telah membawa pulang hadiah wang tunai RM 5,000.00, trofi, selendang Kumang dan hamper. Manakala tempat kedua, yang membawa gelaran Lulung jatuh kepada Cik Joyce Elysa Anak Jantum, yang mana telah membawa pulang hadiah wang tunai RM 4,000.00, trofi, selendang Lulung dan hamper. Tempat yang ketiga pula, yang membawa gelaran Selinggar Matahari telah dimenangi oleh Cik Francine Felicia Anak Mandau, yang mana telah membawa pulang hadiah wang tunai RM 3,000.00, trofi, selendang Selinggar Matahari dan hamper.
 
Disediakan oleh:
En. Rolyn Anak Terrance Janting,
Ketua Bahagian Komunikasi Korporat, Pejabat Residen Bahagian Kapit
 
Tarikh: 19 Mei 2025