MAJLIS PELANCARAN KARNIVAL KEUSAHAWANAN BUMIPUTERA BAHAGIAN KAPIT 2025

Disiarkan pada 11 Aug 2025
Sumber Berita: Real Kapit Chronicle fb page
9 Julai 2025 (Rabu) - Dengan penuh penghormatan, Majlis Perasmian Pembukaan Program Karnival Usahawan Bahagian Kapit 2025 telah disempurnakan oleh YB Datuk Dr Malcolm Mussen Anak Lamoh, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, selaku wakil kepada YB Datuk Amar Haji Awang Tengah bin Ali Hasan, Timbalan Premier, Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II serta Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan.

Majlis yang berlangsung pada 6 Julai 2025 telah berjalan dengan lancar dan penuh kemeriahan, dihadiri oleh pelbagai lapisan masyarakat, usahawan tempatan serta pihak berkepentingan dari seluruh Bahagian Kapit. Turut hadir sama ialah YB Datuk Jefferson Jamit Anak Unyat Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Undang-undang dan Adat Bumiputera) Merangkap ADUN N.63 Bukit Goram, Puan Connie Christopher Kesa wakil Setiausaha Tetap, Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri Dan Pelaburan, Encik Elvis Anak Didit Residen Bahagian Kapit serta Encik Robert Liman Anak Deli, Timbalan Residen Bahagian Kapit yang juga memegang jawatan sebagai Pengerusi Majlis Pembangunan Usahawan Bahagian Kapit.

Program Karnival Usahawan ini merupakan satu inisiatif penting yang bertujuan memupuk, memperkasakan dan memberi peluang kepada usahawan tempatan untuk berkembang dan memantapkan keusahawanan mereka. Melalui pelbagai aktiviti menarik dan pameran produk usahawan, karnival ini menjadi medan terbaik untuk usahawan bertukar idea, membina rangkaian perniagaan dan memperluaskan pasaran mereka.

Kejayaan majlis ini tidak terlepas dari kerjasama erat dan sokongan padu daripada semua pihak terlibat, termasuk jabatan kerajaan, agensi swasta serta komuniti setempat. Keadaan yang meriah dan penuh semangat pada sepanjang karnival mencerminkan aspirasi tinggi masyarakat Kapit dalam memperkukuh ekonomi serta membangunkan potensi keusahawanan yang sedia ada.
Kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua yang telah memberikan komitmen dan menyumbang tenaga demi memastikan program ini berlangsung dengan jayanya.

Semoga Karnival Usahawan Bahagian Kapit 2025 terus menjadi platform unggul dalam membina usahawan berdaya saing dan berinovasi demi kemajuan bersama.