MAJLIS PEMIMPIN BERSAMA RAKYAT SEMPENA SAFARI RAKIT BALEH-KAPIT 2025
Posted on 11 Aug 2025
Source of News: Real Kapit Chronicle fb page
12 Julai 2025 (Sabtu) – Kemeriahan Safari Rakit Baleh Kapit 2025 diteruskan dengan penganjuran Majlis Pemimpin Bersama Rakyat yang telah berlangsung meriah di Rumah Tang, Nanga Banyau, Baleh Kapit, lokasi yang juga merupakan pelepasan kedua bagi edisi ke-28 Safari Rakit tahun ini.
Majlis ini telah disempurnakan oleh YB Datuk Jefferson Jamit, yang turut mengambil peluang bertemu serta berinteraksi dengan penduduk tempatan dalam suasana yang mesra dan penuh semangat kekitaan.
Kehadiran beliau disambut hangat oleh masyarakat setempat, yang jelas menunjukkan semangat perpaduan dan keterujaan terhadap acara tahunan yang dinanti-nantikan ini.
Turut hadir ialah Residen Bahagian Kapit, Tuan Elvis Anak Didit, yang dalam ucapannya menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang telah menjayakan program ini. Beliau turut memaklumkan bahawa penyertaan Safari Rakit Baleh Kapit 2025 menunjukkan peningkatan mendadak berbanding tahun sebelumnya adalah satu petanda positif bahawa acara ini semakin mendapat tempat di hati masyarakat serta berjaya menarik minat pengunjung dari dalam dan luar kawasan Kapit.
Majlis ini menjadi saksi kepada keindahan nilai tradisi, kerjasama komuniti dan semangat pembangunan luar bandar yang terus berkembang selari dengan aspirasi kerajaan. Selain menjadi medan sukan air yang unik, Safari Rakit juga terus menjadi jambatan penghubung antara pemimpin dan rakyat memperkukuh hubungan, menyubur semangat setiakawan dan memartabatkan warisan budaya sungai yang menjadi nadi kehidupan masyarakat Hulu Rajang.