MAJLIS KESYUKURAN DAN APRESIASI BAHAGIAN KAPIT 2025
Disiarkan pada 11 Aug 2025
Sumber Berita: Real Kapit Chronicle fb page
Pada 27 Julai 2025, telah berlangsung Majlis Kesyukuran & Apresiasi Bahagian Kapit, sebuah acara penuh penghargaan dan kesyukuran yang dianjurkan bagi meraikan kakitangan yang akan bersara serta yang berpindah dari Bahagian Kapit untuk meneruskan khidmat di tempat baharu. Majlis ini bertujuan memberi pengiktirafan terhadap segala jasa dan sumbangan mereka sepanjang berkhidmat di Kapit, sekaligus sebagai tanda penghargaan atas dedikasi dan komitmen yang telah diberikan.
Lebih bermakna, Majlis ini telah disempurnakan oleh YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya Malaysia merangkap Ahli Parlimen P.215 Kapit yang turut meluangkan masa untuk bersama-sama memeriahkan suasana dan menyampaikan ucapan penghargaan kepada para penerima.
Majlis ini turut diserikan dengan sambutan ulang tahun kelahiran Residen Bahagian Kapit, Encik Elvis Anak Didit, yang diraikan dalam suasana meriah dan penuh keakraban bersama warga pentadbiran. Sambutan ini mencerminkan nilai kebersamaan dan rasa hormat yang tinggi terhadap kepimpinan beliau dalam menerajui pentadbiran Bahagian Kapit.
Kehadiran para tetamu kehormat, pegawai-pegawai jabatan, serta seluruh warga kerja pentadbiran telah memeriahkan lagi majlis yang penuh simbolik ini — sebuah penghargaan atas perkhidmatan cemerlang serta permulaan doa restu untuk perjalanan baharu mereka yang diraikan.
Sekalung penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada semua yang telah menjayakan majlis ini. Semoga segala jasa yang ditabur akan terus dikenang dan menjadi inspirasi kepada generasi akan datang.
“Selamat Bersara dan Selamat Maju Jaya kepada yang berpindah. Terima kasih atas segala sumbangan.”