UKAS PERKUKUH JALINAN KERJASAMA DENGAN PENTADBIRAN BAHAGIAN KAPIT

Disiarkan pada 23 Sep 2025
Sumber Berita: UKAS fb
KAPIT: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) terus memperkukuh jalinan kerjasama strategik di peringkat bahagian dengan mengadakan kunjungan hormat ke atas Residen Bahagian Kapit, Elvis Didit di Pejabat Residen Bahagian Kapit, pada Isnin.
 
Pengarah UKAS Awang Putrayusrie Awang Redzuan yang hadir bersama rombongan dari Ibu Pejabat UKAS Kuching telah berkongsi mengenai peranan UKAS termasuk fungsi pejabat UKAS di setiap bahagian seluruh Sarawak dalam menyokong agenda komunikasi kerajaan, selain memastikan dasar, inisiatif dan program pembangunan dapat disampaikan secara berkesan kepada rakyat.
 
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Pejabat Residen dan Pejabat Daerah (RANDO) serta agensi-agensi kerajaan yang sentiasa memberikan ruang kerjasama kepada UKAS dalam pelaksanaan pelbagai aktiviti rasmi di peringkat bahagian.
 
“UKAS sentiasa komited untuk memperkukuh kerjasama dengan pihak pentadbiran Residen serta bersedia berganding bahu dalam menjayakan program dan aktiviti di lapangan,” katanya.
Sementara itu, Elvis turut memaklumkan mengenai beberapa program sedang dilaksanakan serta perancangan akan datang yang akan dilaksanakan oleh pentadbiran Bahagian Kapit.
 
Beliau turut menyambut baik kehadiran rombongan UKAS, yang disifatkan sebagai langkah penting dalam memperkukuh hubungan strategik antara dua pihak.-EDISI UKAS
 
#UKASnews
#SaluranInformasiRakyat
#SarawakMajuMakmur