KAPIT: Peruntukan berjumlah RM400 juta telah dibelanjakan Kerajaan Sarawak dalam tempoh tiga tahun ini bagi pelaksanaan projek-projek pembangunan di bahagian Kapit.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, projek-projek tersebut meliputi projek di bawah Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA), Projek Rakyat dan projek-projek kecil.
Menurutnya, pada umumnya bahagian Kapit pesat membangun, begitu juga kawasan-kawasan luar dari Kapit.
"Setakat ini, projek-projek pembangunan berjalan lancar namun terdapat projek yang mengalami kelewatan disebabkan masalah logistik.
"Kita akan mencari alternatif lain bagi menyelesaikan isu ini dan ia berkehendakkan masa," jelasnya sambil menambah, dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) kerajaan akan membuat kajian bagi projek-projek tersebut.
Abang Johari berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Koordinasi Pembangunan Negeri di Kompleks Kerajaan Negeri di Jalan Bletih, hari ini.
Mengulas lanjut tentang masalah logistik beliau berkata, terdapat kontraktor yang berdepan dengan masalah membawa masuk bahan pembinaan ke tapak projek.
"Sebagai alternatifnya, kita boleh membawa masuk bahan binaan melalui sungai, malah ia dapat mengurangkan lagi kos logistik, selain hanya menggunakan darat untuk penghantaran bahan binaan," ujarnya.
Abang Johari juga berkata, dengan pelaksanaan projek pembesaran bandar, bandar Kapit akan mengalami perubahan landskap pembangunan.
"Sebenarnya kita sudah ada pelan induk untuk pembesaran bandar Kapit di mana projek ini akan meliputi pembangunan termasuk pusat komersial, perumahan dan jalan-jalan asas yang akan menghubungkan bandar lama terus ke jalan utama ke Sibu," ujarnya.
Abang Johari turut menyampaikan cek bantuan dana sekolah mubaligh di bahagian Kapit bagi tahun 2022 daripada Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) berjumlah RM944,800 dan menyampaikan sijil pelantikan baharu ketua masyarakat di bahagian Kapit.
Selepas itu, beliau turut mengadakan lawatan ke Bangunan Pejabat URDA.
Turut hadir Menteri Kerja Raya yang juga Ahli Parlimen Kapit Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Dato Sri Dr Sim Kui Hian, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah serta yang lain.